Pengerusi Yayasan Amal Maaedicare, Tunku Datuk Yaacob Khyra berkata, sijil tersebut bukan sahaja mampu memberi nilai tambah kepada jururawat dari segi kepakaran, malah memberi ruang untuk mereka menerima imbuhan yang lebih adil dan setimpal dengan tanggungjawab khusus yang dipikul. – Foto Maaedicare Charitable Foundation
KUALA LUMPUR — Penubuhan sijil khas untuk jururawat dialisis disaran sebagai langkah strategik bagi menangani kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang rawatan penyakit buah pinggang serta menambah baik sistem penjagaan kesihatan negara secara menyeluruh.
Pengerusi Yayasan Amal Maaedicare, Tunku Datuk Yaacob Khyra berkata, sijil tersebut bukan sahaja mampu memberi nilai tambah kepada jururawat dari segi kepakaran, malah memberi ruang untuk mereka menerima imbuhan yang lebih adil dan setimpal dengan tanggungjawab khusus yang dipikul.
Menurut beliau, satu program latihan intensif selama dua bulan boleh diwujudkan bagi membimbing jururawat untuk menguasai kemahiran teknikal rawatan dialisis. Seterusnya, latihan lanjutan selama enam bulan pula dicadangkan untuk jururawat pesakit buah pinggang agar mereka boleh melaksanakan prosedur lebih kompleks termasuk kerja-kerja klinikal di bilik pembedahan.
“Latihan berfasa ini bukan sahaja meningkatkan mutu rawatan, tetapi dapat mengoptimumkan penggunaan kepakaran jururawat dengan lebih tersusun,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam amal tahunan anjuran Yayasan Amal Maaedicare di ibu negara, malam tadi.
Tunku Yaacob turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu penghijrahan jururawat terlatih ke luar negara selepas menjalani latihan yang dibiayai majikan, khususnya ke negara Timur Tengah yang menawarkan gaji lebih lumayan.
Beliau berkata, dengan adanya perbezaan yang jelas dari segi struktur latihan serta skop kerja antara jururawat dialisis dan jururawat pesakit buah pinggang, ia boleh membantu mengurangkan impak kewangan akibat kekurangan kakitangan kesihatan mahir di dalam negara.
Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Penaung Yayasan Amal Maaedicare, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah turut berkenan hadir bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal Maaedicare, Anne Rajasaikaran.
Dalam majlis penuh bermakna itu, yayasan berjaya mengumpul dana sebanyak RM650,000 menerusi sumbangan wang tunai serta barangan, yang akan digunakan untuk menyokong operasi 11 pusat dialisis, meningkatkan kemudahan diagnostik jantung, dan memperluas program saringan kesihatan percuma melalui Klinik Amal di seluruh negara.
Sejak penubuhannya pada tahun 1994, Yayasan Amal Maaedicare telah memainkan peranan penting dalam menawarkan rawatan dialisis bersubsidi kepada lebih 32,000 pesakit dan memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan kepada golongan kurang berkemampuan.